Rabu, 10 Oktober 2007

aplikasi komputer animasi


Seperti yang kita ketahui terdapat pelbagai kegunaan animasi komputer dewasa ini, lebih-lebih lagi dalam era pembangunan industri multimedia. Mungkin ramai yang menyangka bahawa penggunaan animasi komputer hanya tertumpu kepada penghasilan permainan komputer, siaran TV atau bahan-bahan bercirikan multimedia. Sangkaan ini sebenarnya kurang tepat kerana penggunaan animasi komputer turut diadaptasikan ke dalam pelbagai bidang lain sekaligus tidak lagi tertumpu kepada bidang tertentu sahaja.
Antara bidang-bidang yang turut menyediakan ruang kepada penggunaan aplikasi komputer animasi termasuklah pengiklanan, arkeologi, senibina, kesenian, sains kimia, pendidikan, kejuruteraan, produksi filem, simulasi penerbangan, forensik, perubatan, ketenteraan, visual bercorak saintifik, simulasi, penjelajahan angkasa lepas, dan produksi video. Berikutan kesesuaian diadaptasikan ke dalam pelbagai bidang, maka tidak mustahil peggunaannya akan diperluaskan lagi dalam bidang-bidang yang baru.
Ketika ini industri animasi komputer telah memperlihatkan riak perkembangannya samada di seluruh dunia mahupun di negara ini. Umpamanya sudah menjadi satu tren di dalam penerbitan media elektonik khususnya TV dengan menerbitakan lebih banyak program bercorak animasi untuk menambahkan lagi nilai kepada siaran mereka sekaligus untuk mempastikan para penonton tetap setia berada di hadapan TV.
Di samping itu terdapat juga permintaan terhadap animasi komputer dalam bidang-bidang lain seperti yang telah dinyatakan tadi. Manakala bertambahnya permintaan dalam industri animasi komputer itu sendiri, turut merangsang pertumbuhan syarikat-syarikat baru yang berminat untuk menceburi bidang berteknologi ini di serata dunia termasuklah syarikat-syarikat di Malaysia yang bakal bertumpu kepada Koridor Raya Multimedia (MSC).
Sehubungan itu agak mustahil untuk menyenaraikan kesemua syarikat atau organisasi yang terbabit di sini kecuali nama-nama yang sudah tersohor. Antaranya ialah Adobe Systems Inc., Alias Wavefront, AutoDesk, Bentley, Caligari, Computational Logic Inc., ComputerVision, ElectricImage, ElectroGIG, Fractal Design, InterGraph, Lateiner Dataspace, MacroMedia, National Association of Broadcasters, NewTek, ReZ.n8, SigGraph, Silicon Graphics, Strata Inc., dan ViewPoint Datalabs.
Sebahagian nama dalam senarai tersebut memang sudah biasa kita dengari. Malah masing-masing sudah memiliki tapak Web sendiri yang boleh kita kunjungi untuk mengetahui latar belakangnya, termasuklah produk serta perkhidmatan yang ditawarkan. Perlu juga kita sedari bahawa Malaysia sedang giat dengan usahanya untuk menyuburkan industri ini seperti penubuhan institusi pengajian tinggi yang berkaitan bagi memenuhi permintaan tenaga kerja dan kepenggunaan animasi komputer dalam pelbagai bidang.

Tidak ada komentar: